Rundle Lantern, diambil dengan iPhone 4 dan diedit dengan aplikasi Instagram
Kali ini saya akan berkongsi tentang sebuah senibina yang menarik di bandar tempat tinggal saya sekarang, Adelaide South Australia. Bangunan yang dimaksudkan ialah Rundle Lantern. Err.. Sebenarnya bukanlah sebuah bangunan, tetapi hanyalah sebuah instalasi seni kreatif yang dipaparkan di permukaan sebuah bangunan yang hodoh – sebuah tempat letak kereta. Walaubagaimanapun, ini merupakan satu kejayaan senibina dan perancangan bandar yang wajar dijadikan kajian kes oleh sesiapa yang terlibat dalam bidang-bidang yang berkaitan.
Pada akhir 2006, Adelaide City Council telah bercadang untuk mentransformasikan bahagian barat Rundle Mall, di persimpangan jalan Rundle Street dan Pulteney Street. 6 buah firma telah dijemput bagi mengemukakan cadangan rekaan masing-masing, dan Fusion selaku satu-satunya firma yang bukan berasaskan senibina telah berjaya memenangi pertandingan tersebut. Antara sebab kemenangan mereka ialah, selain berjaya memenuhi objektif dan kehendak penganjur, mereka juga telah mencadangkan satu solusi mudah. Firma-firma lain mencadangkan sebuah bangunan baru, lanskap ataupun satu bentuk yang lain. Secara perbandingan, rekabentuk ini merupakan satu rekabentuk yang mudah. Mereka hanya perlu memasang 748 panel LED pemancar cahaya pada bangunan tempat letak kereta sediada. Ini telah menghasilkan sebuah layar yang menjadi kanvas seni dan kebudayaan yang dinamik bagi bandar Adelaide.
Selain itu, Rundle Lantern juga merupakan sebuah teknologi hijau, di mana ia dijana 100% dengan menggunakan tenaga solar. Persembahan yang ditayangkan menghasilkan karbon neutral, manakala LED yang digunakan berwatt rendah, serta 100 kali ganda jangka hayat berbanding mentol biasa. Panel juga dipasang secara condong bagi membenarkan aliran udara sebanyak 50%.
Dilancarkan pada 24 Oktober 2008, kini Rundle Lantern menjadi sebahagian daripada kehidupan warga Adelaide. Semua orang juga dijemput turut serta memeriahkan dengan menghantar bahan seni untuk dipaparkan di layar Rundle Lantern. Ini merupakan satu lagi usaha bagi menonjolkan bahawa Rundle Lantern ini adalah milik semua, di mana setiap warga Adelaide turut boleh menyumbang sama.
Saksikan Rundle Lantern secara langsung menerusi webcam, dan saksikan video-video persembahan di Youtube.
Be The First To Comment